KUALA LUMPUR, 21 April — Sesungguhnya politik adalah salah satu topik yang paling menarik, mudah, selesa dan sesuai diperkatakan pada semua peringkat — dari kedai kopi hingga ke lobi Parlimen.
Malah, saya sering mengatakan bahawa saya amat “suka” akan politikus dan segala perkara yang berlaku di dalam dan di luar parti-parti politik kerana semua itulah — Drama Paul Lathic — yang menjadi sumber inspirasi yang berterusan bagi begitu banyak karya berbentuk satira dan parodi yang saya hasilkan sejak 1992.
Bayangkan jika tidak ada ahli politik dan parti politik. Pasti tidak ada apa-apa yang menarik untuk diperkatakan serta tidak ada apa-apa untuk dilaporkan menerusi media cetak dan media elektronik arus perdana.
Buku “#BodohPolitik: 101 easy guides on how (not) to choose a Malaysian leader” (2012) oleh Anas Zubedy memberikan 101 lagi topik atau fakta menarik untuk dibicarakan berhubung perkara sama.
Kelahiran buku ini juga ternyata amat kena pada masa dan tempatnya kerana Pilihan Raya Umum Ke-13 semakin hampir dan orang ramai (pengundi) perlu lebih bersedia untuk melaksanakan tanggungjawab memilih bakal pemimpin yang benar-benar berwibawa.
Buku ini memaparkan 101 perkara yang sesuai dilabel sebagai “bodoh politik” serta ditulis dalam Bahasa Malaysia, Inggeris, Mandarin dan Tamil. Saya berpeluang terlibat sama dalam menyemak dan memurnikan sebahagian besar terjemahan Bahasa Malaysia. Individu lain yang terlibat ialah Mu, Sangar, Fah Yen Yin, Chai Hong, Sharon, Aminah Poh, Rosa dan Soo How.
Penggunaan hashtag (#) pada setiap pandangan di dalam buku ini memberikannya “rasa” seperti komentar yang sering dikongsikan kepada umum menerusi Twitter. Namun, perlu dinyatakan bahawa ada pandangan yang terlalu panjang untuk paparan Twitter.
Setiap pandangan yang amat sinis — “siapa yang makan cili, dia yang terasa pedasnya” — dikemukakan dalam empat bahasa utama di negara ini. Sekali gus, mampu turut dinikmati oleh mana-mana politikus dan pak turut yang hanya tahu satu bahasa.
Misalnya: “#BodohPolitik adalah apabila kita andaikan orang India, Cina dan etnik lain yang miskin tidak layak mendapat hak yang sama seperti golongan Bumiputera yang sama-sama miskin” dan “#BodohPolitik adalah apabila kita sibuk memikirkan pilihan raya akan datang berbanding apa yang perlu dibuat selepas pilihan raya — iaitu bekerja untuk rakyat”.
Pada masa sama, Anas turut menyelar dan mengkritik golongan masyarakat (pengundi) yang juga selalu bertindak tanpa berfikir secara rasional dalam pelbagai perkara.
Misalnya: “#BodohPolitik adalah apabila kita sanggup mengundi seseorang calon atau parti semata-mata kerana kita membenci calon atau parti yang satu lagi” dan “#BodohPolitik adalah apabila kita pandai merungut, mengeluh, mengkritik tentang politik tapi tidak mengambil inisiatif mendaftar sebagai pengundi”.
Buku “pelbagai rasa” (pedas, manis, pahit, kelat) ini baru sahaja terbit dan dijangka menarik perhatian pelbagai lapisan masyarakat; sama ada sebagai bahan bacaan ringan atau bacaan serius yang mencabar minda.
Anda pasti berasa bangga dilihat di tempat awam bersama-sama buku ini kerana hanya orang yang “bodoh politik” akan menjauhkan diri daripada buku seperti ini.
* Uthaya Sankar SB memblog di www.uthayasb.blogspot.com dan boleh dihubungi menerusi e-mel uthayasb@yahoo.com.my
Read this article in TMI