Wednesday, November 19, 2014

Nasihat lelaki terkaya Asia pada usahawan muda berpendapatan RM2000 By Shubhi


Li KaShing Billionaire Richest Advice For Success Nasihat lelaki terkaya Asia pada usahawan muda berpendapatan RM2000

Artikel ini khas untuk anda yang masih muda dan dah jadi usahawan muda. Kalau anda muda dan masih makan gaji, anda juga boleh ambil nasihat yang sama untuk mencapai misi menjadi usahawan muda.
Siapa dia lelaki terkaya Asia?
Namanya ialah Li Ka-Shing. Jumlah kekayaan bersihnya mencapai USD31.9 billion !!!. Li Ka-Shing sekolahpun tak habis. Dia merupakan seorang kaki baca buku. Sifat itu adalah pengaruh daripada bapanya yang merupakan seorang guru yang yang mencintai ilmu.
Li Ka-Shing kehilangan bapanya sebelum berumur 15 tahun. Akibat daripada itu dia tidak dapat meneruskan persekolahan. Dia dilahirkan di ChaoZhou, sebuah tempat di daerah Guangdong, China pada 29hb Julai 1928.
Bermula daripada seorang buruh kasar di sebuah kilang plastik, dia mencuba nasibnya menjadi seorang jurujual, jga dalam industri barangan plastik. Cerita berkenaan lelaki paling kaya di Asia ini merupakan antara cerita paling mula yang saya tahu.

Terpengaruh dengan usahawan muda Li Ka-Shing

Saya banyak terpengaruh dengan cerita dan cara berjimat dan bersederhana beliau. Dan memang terbukti pengaruh itu banyak membantu saya menjadi usahawan seperti mana yang saya ada sekarang.
Walaupun kaya raya, Li Ka-Shing hanya memakai jam Seiko yang dibelinya pada masa mula menjadi usahawan muda dahulu. Dia memang terkenal dengan cara hidup yang berjimat cermat dan amat suka membaca bagi mengumpulkan ilmu.
Mungkin sebab itu saya juga memakai jam Seiko, limited edition yang saya pakai sejak tahun 2001 dahulu. Walaupun hati meronta-ronta untuk membeli jam mahal setiap kali saya meronda di kedai jam mewah. jam Seiko yang masih utuh dan tepat waktunya itu sering mengingatkan saya pada jam Li Ka-Shing (Anda tak perlu ikut cara saya dalam bab pakai jam ini… hehehe)
Ketika mula bekerja sebagai buruh kasar dia berpeluang membantu majikannya mengarang satu surat penting. Peluang itu berlaku apabila kerani majikannya tak hadir dan tiada orang yang boleh membantu majikannya buat surat.
Oleh kerana Li Ka-Shing tahu membaca dan menulis, orang menunjukkan beliau pada majikannya. Setelah Li Ka-Shing berjaya buat surat, majikannya kagun dengan keupayaan beliau mengarang dengan baik. Lalu ditawarkan kerja pejabat yang lebih mudah.
Tapi sikap sebagai usahawan muda yang ada pada dirinya membuatkan dia menolak tawaran tersebut. Dia meminta untuk menjadi seorang jurujual daripada majikannya daripada menjadi seorang kerani.
Oleh kerana suka dengan sikap Li Ka Shing, majikannya mengizinkan beliau menjadi jurujual. Terbukti bakatnya sebagai seorang jurujual amat hebat. Hasil jualannya seorang diri mengatasi hasil jualan kesemua jurujual yang ada dalam masa yang singkat saja.
Bila dia bercadang nak buka Kilang buat bunga tiruan dari plastik, majikannya yang yakin akan bakat Li Ka Shing mahu mengikutinya dan menjadi rakan kongsi Li Ka Shing. Ertinya majikannya sanggup berada di bawah pimpinan Li Ka Shing yang masih muda itu. Majikannya sanggup jual kesemua kilangnya untuk mengumpul dana bagi menjayakan hasrat Li Ka Shing.
Dan kini, Li Ka Shing adalah orang paling kaya di Asia. Dia masih kekal bersederhana walaupun kekayaannya amat hebat….
Ok! itu serba sedikit cerita berkenaan Li Ka-Shing. Sekarang mari kita belajar apa petua beliau untuk usahawan muda yang mahu berjaya dalam hidup.

Petua Li Ka-Shing untuk usahawan muda

Katakan anda berpendapatan sebanyak RM2000 sebulan sekarang. Tak kira samada anda dah berniaga atau anda masih makan gaji. Pastikan anda bahagikan pendapatan itu kepada 5 bahagian.
  1. Belanja untuk sara hidup anda. Pastikan anda bersederhana dalam belanja sara hidup. Jumlah sebanyak maksimum RM600 mungkin dah cukup jika anda pandai berjimat. Bajet sekitar RM20 sehari untuk perbelanjaan hidup anda walau apapun yang berlaku.
    1. Makan pagi secara sederhana dengan makan bihun atau nasi goreng, telur sebiji dan air segelas. Itu dah cukup mengenyangkan.
    2. Makan tengahari juga dengan cara yang sederhana dan sedikit buah.
    3. Makan malam pastikan anda masak sendiri dengan cara yang mudah dan sederhana. Makan sayur dan buah dan minum segelas susu sebelum tidur.
  2. Belanja untuk bina rangkaian kawan. Untuk itu anda perlukan sebuah telefon bimbit. Bajet sekitar RM100 saja sebulan untuk bil telefon anda. Peruntukkan sebanyak RM300 lagi untuk belanja kawan makan. Anda boleh bajet dalam 3 orang sebulan dengan kos RM100 seorang. Jadi jumlahnya adalah dalam lingkungan RM400 untuk aktiviti bina rangkaian kawan ini. Pastikan kawan yang anda belanja itu adalah mereka yang:
    1. Lebih berilmu daripada anda. Jangan belanja orang yang entah apa-apa yang berfikiran negatif dan tidak punya ilmu yang lebih baik dari anda sendiri.
    2. Lebih kaya daripada anda. Belanja mereka walaupun mereka lebih kaya kerana apa yang mereka tahu perlu menjadi rahsia yang anda perlu korek.
    3. Orang yang membantu anda dalam kerjaya atau perniagaan. Tak ada usahawan yang boleh naik tanpa bantuan dari mereka yang prihatin dan besar jiwanya membantu orang anda. Jadi hargai mereka dan jangan kemut untuk belanja mereka. Ia bakal menadi magnet untuk lebih ramai lagi orang lain datang memberikan anda bantuan selepas ini.
  3. Belanja untuk aktiviti menuntut ilmu. Jangan ambil mudah dengan aktiviti menuntut ilmu untuk berjaya. Tak ada orang yang boleh pergi jauh jika malas mencari ilmu. Untuk itu anda perlu pastikan sejumlah RM300 diperuntukkan untuk:
    1. Beli buku pengetahuan. Jangan pula beli buku mengarut seperti surat khabar, novel, majalah mangga dan sebagainya. Belilah buku yang anda boleh kutip ilmu dan aplikasikannya dalam kehidupan anda Baca betul-betul dan jangan sia-siakan wang yang dibelanjakan untuk beli buku tersebut. Mungkin anda perlu siapkan dalam RM100 sebulan untuk beli buku.
    2. Ikuti seminar atau kursus keilmuan yang anda rasa penting dan dapat membantu meningkatkan kemahiran dan pengetahuan diri anda. Belanjakan dalam lingkungan RM200 sebulan untuk kursus atau seminar yang baik untuk anda. Anda akan dapat ilmu dan penting lagi anda akan berkenalan dengan mereka yang turut sama mahu berjaya dalam hidup seperti anda.
  4. Belanja untuk melancong ke luar negara. Peruntukkan sebanyak RM200 sebulan untuk aktiviti berjalan ke negeri orang. Anda boleh tetapkan satu aktiviti berjalan ke luar negara sekali setahun. Jika anda sediakan RM200 sebulan, setahun anda akan ada sebanyak RM2,400. Jumlah itu memadai untuk anda melancong ke negara jiran yang kosnya murah. Berjimat dengan penuh kemut ketika melancong. Bukan kemewahan yang yang anda cari tapi apa yang boleh anda pelajari daripada pengembaraan anda itulah yang paling penting. Jauh perjalanan, luas pemandangan !.
  5. Peruntukan untuk simpanan. Baki selanjutnya sebanyak RM500 hendaklah disimpan dalam akaun simpanan anda. Masukkan dalam tabung haji atau mana-mana akaun yang susah nak dikeluarkan. Ia adalah pelaburan untuk modal memulakan perniagaan anda.
    1. Mulakan perniagaan secara kecil-kecilan terlebih dahulu. Trading mungkin satu pilihan yang baik. Bila mula kecil, gagal bermakna anda hanya hilang wang yang sedikit. Jika berjaya, ia jadi suntikan semangat untuk anda berjaya lebih tinggi sedikit lagi.
    2. Cuba buat kerja tambahan untuk tambah pengalaman. Libatkan diri dengan aktiviti menjual kerana menjual adalah perkara penting untuk setiap usahawan yang mahu berjaya.
Li Ka-Shing nasihatkan pada semua usahawan muda untuk berjimat cermat sejak dari awal. Jangan perabih duit dengan beli pakaian dan kasut mewah. Simpan terlebih dulu wang anda. Bila dah kaya nanti, belilah apa saja yang anda mahu, tai bukan ketika anda masih muda dan miskin.
Satu lagi masihat menarik dari Li Ka-Shing untuk usahawan muda adalah, jika anda miskin, banyakkan masa diluar. Keluar dan cari kawan dan buat apa saja aktiviti. Jika dah kaya nanti baru banyakkan duduk dalam rumah dan kurangkan keluar… kenapa dia kata begitu saya tak pasti. Kalau anda nak baca lebih lanjut lagi, sila ke sini.
Demikianlah serba sedikit nasihat yang saya rasa amat menarik untuk usahawan muda yang membaca blog ini. Dalam bab belanja makan sebulan sekali, jangan lupa peruntukkan sekali sekala untuk belanja saya makan. Mungkin saya lebih banyak ilmu dari anda dan mungkin saya juga lebih kaya dari anda, jadi dah memenuhi kriteria untuk belanja saya makan.
Anda boleh tempah masa jika saya ada kelapangan untuk belanja saya makan. Asalkan anda ada hasrat untuk jadi usahawan muda yang berjaya satu hari nanti, saya berbesar hati untuk berkenalan dan berkongsikan ilmu dengan anda. Selamat berusaha dan moga berjaya!!!

No comments:

Post a Comment