Wednesday, September 14, 2016

Salam Hari Malaysia - Khamis di Sinar Harian



Jadikan Malaysia negara yang CEMERLANG:
Komited untuk terus hidup secara harmoni dan kerjasama.

Salam Sejahtera. Ini adalah satu panggilan tindakan! Setiap daripada kita mempunyai peranan yang penting untuk menjadikan Malaysia negara yang CEMERLANG. Kita perlu mempraktikkan nasihat dan peringatan Tunku ke dalam polisi kerajaan dan kehidupan harian. Kita perlu komited untuk hidup secara harmoni dan kerjasama.
1)    Apakah itu komitmen?
Komitmen adalah kepercayaan yang diikuti dengan tindakan. Komitmen menjadikan sesuatu matlamat itu pasti walaupun kita harus memaksa diri untuk mencapainya. Kita berperang dengan musuh dalam diri sendiri. Apabila kita komited melaksanakan sesuatu perkara, kita bersedia untuk menghadapi segala cabaran dan rintangan. Kita bernafas dengan mantra “di mana ada kemahuan, di situ ada jalan”. Seseorang individu yang komited menggunakan sepenuhnya kelebihan unik yang dikurniakan oleh Tuhan untuk manusia; perbezaan antara kita dan makhluk ciptaan lain - TEKAD (willpower).

2)    Apakah yang diperlukan untuk kekal komited untuk hidup secara harmoni dan kerjasama di Malaysia?
Letakkan matlamat Malaysia lebih penting daripada kepentingan peribadi sama ada dari segi etnik, keagamaan ataupun komuniti setempat. Percaya dengan kukuh bahawa kita tidak lebih atau kurang berbanding orang lain. Berikrar mendukung matlamat perpaduan dan semangat kepelbagaian antara kaum. Cari persamaan nilai-nilai murni yang boleh menyatukan kita. Bekerja keras untuk menerima perbezaan antara kita atau sekurang-kurangnya bertoleransi dengan kasih sayang. Jangan sesekali mengelak, tidak mempedulikan atau memulaukan komuniti lain. Beriltizam untuk terus berinteraksi, hidup secara harmoni dan kerjasama dalam apa jua situasi.

3)    Di manakah titik permulaan kita?

Ada dua kunci penting di sini - tingkatkan ilmu pengetahuan dan jaringan kenalan. Apabila kita kurang berilmu, kita melihat dengan pandangan yang prejudis. Ilmu menukarkan prejudis kepada perasaan yang murni dan bertindak sebagai pemangkin positif. Seperti kata pepatah, “tak kenal maka tak cinta”. Baca serta didik diri dan masyarakat sekitar. Apabila kita mempunyai kenalan dan kawan daripada komuniti yang lain, kita tidak mudah terpedaya oleh fanatisme dan sentimen perkauman. Kenalan peribadi dan hubungan persahabatan boleh bertindak sebagai antibodi kepada sifat perkauman, diskriminasi dan ketidaktoleransian agama.

Mari bersama mencipta sebanyak mungkin landasan perpaduan melalui peningkatan ilmu pengetahuan dan peluang-peluang untuk membina lebih banyak jaringan kenalan supaya Malaysia lebih CEMERLANG.
Di zubedy, sumber kekuatan program-program kami adalah nilai-nilai murni dan tradisi-tradisi budaya yang dikongsi bersama. Kami percaya niat di dalam hati semua rakyat Malaysia mahukan yang terbaik untuk diri mereka dan untuk setiap anak-anak Malaysia. Kami percaya bahawa Malaysia tidak akan maju jika sebahagian daripada kita tertinggal di belakang.

Untuk berkongsi pendapat dan pengalaman anda, sila hubungi kami di makemalaysiagreat@zubedy.com atau lawati Facebook dan Twitter @makemygreat.

Usahakan yang terbaik,
Salam Hari Malaysia.


“Masa hadapan kita bergantung kepada betapa eratnya pelbagai kaum boleh hidup secara harmoni dan kerjasama” - Tunku Abdul Rahman (1903 – 1990)


No comments:

Post a Comment