Monday, February 25, 2019

HIDAYAH AL QURAN: BAGAIMANA MENANGANI ISU PENGHINAAN KE ATAS NABI MUHAMMAD S.A.W.


Surat terbuka kepada Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Haji Harussani Bin Haji Zakaria.


Assalamualaikum Tan Sri.


Saya merujuk kepada kenyataan rasmi Tan Sri bil 2/2019 yang bertajuk ISU PENGHINAAN KE ATAS NABI MUHAMMAD S.A.W.

Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang antaramu dan antara dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia.

Sifat-sifat yang baik itu tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang sabar dan tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang mempunyai keuntungan yang besar.

Quran 41: 34-35

Sebagai seorang Islam, kita memang paling tidak suka apabila Nabi kita di hina dan di fitnah. Nabi Muhammad dan semua Nabi-nabi kita merupakan junjungan mulia dan agung kepada sekalian umat Islam dari dulu, sehingga sekarang dan selama-lamanya. Kita memang akan marah dan dan kesal dengan penghinaan-penghinaan tersebut.

Walaupun begitu, sebagai seorang Islam yang berpalingkan Al Quran dan yang menurut contoh Nabi, kita tidak mahu tidak mesti kawal perasaan kita dan merujuk kepada Allah dan Rasulnya cara-cara untuk menangani isu sensitif sebegini. Kita mesti berbalik kepada Al Quran.

Kedua-dua ayat dari surah Al Fussilat di atas boleh dijadikan pembuka reaksi kita.

Saya ingin juga memohon kepada Tan Sri dan sekalian umat Islam untuk mencontohi dan belajar sikap Nabi kita Nabi Muhammad atas Abu Lahab. Kisah Abu Lahab dan isterinya Umm Jameel yang terkandung dalam al-Quran haruslah diambil sebagai panduan. Abu Lahab adalah satu-satunya musuh Islam yang dilaknat oleh Al Quran dengan nama. Abu Lahablah yang telah menghina Nabi kita seterhina-terhinanya.

Pendek kata, tauladan Quran dan Rasulullah dalam menghadapi Abu Lahab seharusnya menjadi piawaian dan tatacara berhadapan dengan individu yang memusuhi Islam seperti mereka yang baru-baru ini menghina Nabi kita di laman web.

Sepertimana kita ketahui, Abu Lahab nekad mengekori Rasulullah ke mana sahaja Baginda pergi. Dia bersungguh-sungguh mengalakkan orang ramai untuk mengabaikan dan tidak mengendahkan Rasulullah. Abu Lahab juga telah mengejar dan membaling batu untuk menghentikan dakwah Rasulullah.

Walau bagaimanapun, Baginda langsung tidak menyeru untuk menghukum Abu Lahab. Undang-undang shariah dan tradisi asabiyah Arab langsung tidak digunakan ke atasnya; tiada ugutan, tiada cemuhan. Tambahan lagi setelah Abu Lahab melempari hadapan rumah Nabi dengan kotoran, anak bongsu Baginda Fatimah menangis melihat nasib ayahnya yang terhina. Namun Baginda tidak mendorong api kebencian dalam hati Fatimah, malahan menenangkan dan menasihatkan anaknya supaya mengamal sifat sabar dan pemaaf seperti yang dianjurkan oleh Islam. Yang ada hanyalah janji Allah bahawa Abu Lahab dan isterinya akan sengsara di akhirat.

Marilah kita ikut Nabi. Marilah kita rujuk AlQuran supaya kita menjadi “orang-orang yang mempunyai keuntungan yang besar.”

Dimanakah Islam kita kalau kita tidak mencontohi sikap Nabi dan rela mengambil tempatnya dalam menyebarkan rahmat ke semesta alam?

Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Karena itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya.

Quran 3:159

Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.

Quran 21:107



Salam
Anas Zubedy
Kuala Lumpur


No comments:

Post a Comment