Friday, August 16, 2019

PERBANDINGAN ALIM ULAMA KITA DENGAN PENCERAMAH ASING




Para alim ulama kita dulu dan sekarang bergandingan bahu bersama semua pemimpin serta pentadbir-pentadbir negara bertungkus-lumus membina negara Malaysia yang berjaya, aman dan dihormati termasuklah negara-negara Islam yang lain dan yang bukan Islam.

Para alim ulama kita bersama-sama susah dan bersama-sama senang dari merdeka hinggalah ke sekarang. Dari negara yang berkadar kemiskinan tinggi, yang majoritinya Melayu Islam, sehinggalah sekarang dimana kita sudah serba serbi cukup dengan kurniaan rahmat dari Allah.

Para alim ulama kita telah memberi sokongan, nasihat dan bimbingan kepada para pemimpin kita selama 60 tahun untuk membangunkan sebuah negara aman dan makmur yang agama rasminya ialah Islam. Satu-satunya negara yang diterajui oleh pemimpin Islam tetapi diterima dan dihormati oleh semua lapisan masyarakat majmuk yang berbilang kaum,agama dan bangsa.

Para alim ulama kita bersama pemimpin-pemimpin negara telah menganjurkan dan menjayakan Tilawah Al-Quran Antarabangsa yang pada mulanya hanya disertai oleh 7 negara pada tahun 1961 sehingga kini dapat menarik 70 negara dari seluruh dunia pada tahun 2019.

Para alim ulama kita bersepakat dengan Kementerian Pendidikan memperkenalkan, menerajui, mengajar serta menguruskan Universiti Islam Antarabangsa sejak tahun 1983. Hasilnya, beribu-ribu lepasan bukan sahaja dari Malaysia malah seluruh dunia mendapatkan segulung ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan ijazah sarjana kedoktoran disini. Mereka bukan sahaja telah dilatih dalam bidang keagamaan malah dalam bidang keduniaan.

Para alim ulama kita serta cendekiawan ekonomi dan kewangan negara bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia mempelopori dalam sistem perbankan dan kewangan Islam, sukuk dan takaful sehingga negara kita menjadi perintis dalam industri kewangan Islam moden yang sistematik. Berjuta-juta orang Islam dan bukan Islam dari dalam dan luar negara telah menggunakan sistem kewangan patuh syariah yang kita perkenalkan dengan penuh keyakinan dan tanpa ragu-ragu.

Para alim ulama kita dengan kolaborasi pentadbir-pentadbir kerajaan yang kemudiannya melalui JAKIM berjaya memperkenalkan Malaysia sebuah negara hub halal terunggul yang kini telah mengekspot produk-produk halal mencecah hampir RM 40 billion setahun! Piawaian halal yang diperkenalkan telah diguna pakai oleh syarikat-syarikat antarabangsa yang bukan dari negara Islam seperti Nestle, Colgate Palmolive dan Unilever. Tambahan lagi kecekapan kita dalam hub halal ini bukan sahaja tertumpu kepada produk makanan dan minuman, malah ia adalah bersifat menyeluruh termasuklah perkhidmatan seperti kewangan, logistik, pelancongan, kosmetik dan farmaseutikal.

Banyak lagi boleh disenaraikan jasa para alim ulama kita terhadap agama, bangsa dan negara kita Malaysia, bahkan kepada dunia keseluruhannya.

TETAPI KENAPA PULA PENCERAMAH ASING YANG DIJULANG, DIBAWA BERARAK DAN DILAUNG-LAUNGKAN DENGAN TAKBIR?

Bukankah kita khaskan perarakan sedemikian hanya untuk Yang di-Pertuan Agong, Sultan-Sultan dan Raja-Raja kita sahaja? Yakni, penyatu antara penganut-penganut agama Islam dan penduduk Malaysia keseluruhannya?

Bukankah elok kalau penceramah asing belajar dahulu Bahasa Melayu? Sedangkan saudara-saudara dari Negara Bangladesh yang mahu bekerja di restoran pun mesti tahu ambil pesanan roti canai, teh tarik dan telur setengah masak dalam Bahasa Melayu, apatah lagi kepada yang mahu mengajar hukum-hakam agama? Bak kata pepatah melayu, “masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang harimau mengaum”. Barulah tidak orang yang mendengar tercengang, tertidur dan ternganga kerana tidak tahu menahu apa yang diperkatakan dalam Bahasa Inggeris berpelat India.

Bukankah elok kalau mana-mana penceramah asing yang mahu masuk ke alam kita belajar dahulu cara-cara kita? Berguru dan bermentor dengan ulama-ulama kita untuk mengambil iktibar tentang selok-belok bagaimana kita dapat mencapai kejayaan yang sungguh meluas ini secara aman tanpa apa-apa perkelahian dan perpecahan?

Kita jangan lupa dalam mencapai kemerdekaan, di negara penceramah asing, beratus-ratus ribu nyawa terkorban baik yang Islam mahupun Hindu. Di Malaysia, kita mencapai kemerdekaan tanpa hilang setitis darah pun, malahan kita dapat merapatkan perhubungan antara kaum dan agama. Di negara penceramah asing, cara mereka asyik mahu berlawan sahaja, di Malaysia cara kita suka berkawan.

Perjalanan kemerdekaan di negara penceramah asing dari satu negara berpecah tiga. Di Malaysia, kita dari tiga negara menjadi satu pada tahun 1963. Cara mereka ialah membangunkan satu negara republik, manakala cara kita mewujudkan sistem Raja Berperlembagaan! Raja kita bukan hanya raja untuk orang Islam, tetapi raja untuk semua. Raja kita bukan hanya pelindung yang Islam sahaja, tetapi, yang bukan Islam juga. 
    
Adakah kita mahu menggadai semua pencapaian kita selama ini dan ikut cara-cara baru yang diimpot dari penceramah asing? Atau, haruskah kita pilih dan lebih yakin dengan cara aman kita selama ini?

Semoga Allah memberi hidayah kepada para alim ulama kita untuk memilih keputusan yang terbaik.

Salam.
Anas Zubedy
Pergerakan Moderat Malaysia.



No comments:

Post a Comment