Bangkitlah!
Kamu diperlukan sebagai Penggerak Ketiga (The Third Force)!
Tanah air kita memerlukanmu. Sahutlah cabaran ini. Bangkitlah! Lupakan sempadan politik partisan. Tanggungjawabmu adalah kepada Perlembagaan Persekutuan, Kebenaran dan Takwa.
Kenapa?
Pada asasnya, negara kita tiada lagi parti pembangkang. Sebuah negara tanpa pembangkang adalah seperti seorang individu yang tiada kebolehan bermuhasabah diri. Kini, politik kita terbahagi dua – Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat – dalam keadaan sebegitu, memang lazim kedua-duanya berlaga untuk merebut ke Putrajaya. Betul, kita kini sedang bergerak ke arah sistem dua parti. Memang ada baiknya. Walau bagaimanapun, ia bagai serampang dua mata, mencetuskan masalah-masalah baru.
Dalam sistem dua parti, seringkali kedua-dua belah saling serang-menyerang - akulah yang betul, engkaulah yang salah. Kedua-dua pihak mahu tunjuk kebolehannya sambil memperkecil yang si anu. Ini memang lazim dalam permainan politik. Itulah tugas mereka - memancing undi.
Namun begitu, kita masih boleh memurnikan dan memperbaik keadaan. Generasi muda boleh memastikan hanya yang terbaik mewakili kita di parlimen.
Bukankah kita sebuah negara dengan 30 juta rakyat? Takkanlah kita tidak dapat mencari 222 perwakilan yang hebat antara kita untuk ke parlimen?
Marilah kita memberi mesej yang jelas kepada kepimpinan politik. Kita mahu dilimpahi pilihan yang sarat. Kalau kumbang bukan seekor, maka pemimpin juga bukan seorang. Golongan yang bijaksana, yang mempunyai integriti tidak boleh dimakan rasuah, rajin, waras, cergas dan cerdas, itulah yang kita mahukan. Kita mahukan natijah sama menang – tak kira siapa yang kita pilih, tetap dapat yang terbaik.
Anak bangsa Malaysia, janganlah jadi pak turut dan mengambil jalan mudah mengundi hanya berdasarkan kata-kata pemimpin-pemimpin politik. Ukirlah masa hadapanmu dengan corak tersendiri. Yakini diri dan buat penilaian dengan menggunakan akal fikiran. Anda sebagai generasi muda Penggerak Ketiga mempunyai kepandaian, kebolehan teknologi terkini dan semangat yang tinggi dapat merubah lanskap kepimpinan di negara kita. Gunakan kebolehan ini untuk meneliti setiap calon, tanpa mengambil kira latarbelakang partinya. Soal selidik mereka, semak segalanya. Pastikan mereka mendengar suara generasimu.
Mengapa?
Kerana kita rakyat se-Malaysia, berhak hanya yang terbaik. Dan hak ini terletak di genggaman generasi muda.
Bagaimana? Apakah tindakan yang boleh diambil?
- Titikberatkan kebenaran, bukan parti. Rangkakan rancanganmu, berlandaskan Perlembagaan Persekutuan, Kebenaran dan Takwa.
- Libatkan rakan-rakanmu sebagai Penggerak Ketiga. Berbincang mengenai strategi. Sebarkan mesej ini. Jadikanlah topik ini perbualan harian.
- Tubuhkan kumpulan-kumpulan kecil untuk bersemuka dan berinteraksi dengan bakal ahli-ahli parlimen di dalam kawasan undimu secepat mungkin. Jelaskan kehendakmu. Tekankan bahawa mereka tidak akan diberi jalan mudah ke parlimen tanpa soal selidik.
- Jangan terima janji-janji kosong. Jelaskan bahawa segala janji-janji bakal ahli parlimen mesti dimeteraikan dalam hitam putih.
- Jadikan peranan Penggerak Ketiga Malaysia ini resolusi 2012 mu.
- Berjanji tidak akan sekali-kali memilih mana-mana calon tanpa penilitian menyeluruh.
Wahai Generasi Muda Malaysia, terima kasih. Ingatlah, ini bukan masanya untuk kita memihak belah kiri atau belah kanan kerana kamu diperlukan untuk di baris hadapan. Kamu adalah harapan bangsa.
Kamulah Penggerak Ketiga!!!
Bangkit!
Saya dengan hormatnya,
anas zubedy
zubedy (M) Sdn Bhd
http://letusaddvalue.blogspot.com
http://www.facebook.com/zubedy
twitter:@anaszubedy
English version of this article
1 comment:
boring....macam buat jerrr
Post a Comment