Followers

Thursday, September 5, 2019

JANGAN BOIKOT, SOKONG PRODUK BUATAN MALAYSIA

Hari ini di SINAR HARIAN ms 6



Kami, sekumpulan rakyat Malaysia, mengajak kesemua rakyat membeli dan memberi keutamaan kepada produk buatan Malaysia.

Pada asalnya, rangsangan untuk mengutamakan pembelian produk Muslim sahaja atau memboikot produk buatan bukan-Muslim kemungkinan nampak sebagai suatu strategi yang amat baik. Namun demikian, jika ditinjau dan dikaji dengan lebih mendalam, ia mungkin suatu tindakan yang kurang bijak.

Kebanyakan syarikat-syarikat swasta mempunyai ramai pekerja dari kaum Melayu. Malahan dalam beberapa syarikat ini, kaum Melayu menjadi tenaga pekerja majoriti. Walaupun pada hakikatnya sesebuah syarikat itu dimiliki kaum bukan-Muslim, tetapi rangkaian ekonomi meliputi juga komuniti lain. Ia termasuk pengambilan bahan mentah, kepada pembekal barangan serta penghantaran kepada pembeli secara hubungan rangkaian perniagaan. Hubungan sebegini adalah hakikat sebenar ekonomi tempatan dan juga di peringkat global. Tambahan pula, semua syarikat yang mendapat keuntungan akan membayar cukai yang digunakan untuk belanjawan bagi manfaat seluruh masyarakat. Ia termasuk juga pembiayaan gaji dan elaun kakitangan kerajaan yang kebanyakan kita semua sedia maklum majoritinya adalah kaum Melayu. Wang cukai ini juga digunakan untuk pembangunan pendidikan, kesihatan dan lain-lain lagi.

Wang dapatan dari cukai syarikat-syarikat yang membuat untung juga digunakan untuk membiayai institusi Islam seperti JAKIM dan ini mendatangkan manfaat secara langsung kepada umat Islam sendiri. Maka itu, adalah suatu perkara yang malang jika mereka yang mewarwarkan kegiatan boikot ini kurang faham tentang prinsip dan dasar ekonomi ataupun mereka sengaja memainkan sentimen perkauman dan provokasi emosi orang Islam dengan agenda tersendiri.

Kami ingin juga mengingatkan bahawa ramai orang-orang Melayu dan Islam memegang saham dalam kebanyakan syarikat tersenarai awam dan nama-nama mereka pun terpapar sebagai ahli-ahli lembaga pengarah. Kebanyakan syarikat-syarikat di Malaysia juga telah melaburkan wang dalam usaha menjadikan produk dan kegiatan syarikat itu serasi dengan syariah dan mendapat pensijilan halal. Malaysia merupakan hub halal yang terbesar di dunia di atas usaha orang-orang Islam dan bukan Islam.

Jika ada apa-apa usaha memboikot, ia akan mendatangkan kesan bukan sahaja kepada orang bukan Islam tetapi pada orang Islam juga. Kita semua kena menyokong barangan jenama Malaysia supaya sama-sama dapat kita membangun ekonomi dan menjadikan ia lebih kukuh. Pemboikotan dalam suasana ekonomi masakini bukan sahaja sesuatu yang tidak praktikal ia juga sesuatu yang bersifat hipokrit memandangkan kita semua menggunakan barangan dari seluruh dunia. Segala barangan dari makanan, pakaian, teknologi dan pengangkutan, setiap satunya datang dari sumber pembekal, pengasas dan pembuat dari pelbagai kaum, bangsa dan agama. Begitulah hakikatnya ekonomi global dalam dunia masakini. Maka itu, bagaimana boleh kita mengatakan bahawa setiap barangan yang kita pakai atau makan datangnya khusus hanya dari satu kaum dan agama sahaja?

Sebagai rakyat Malaysia, hidup kita berangkai dengan semua kaum. Seorang Mak Cik menjual nasi lemak di depan kilang milik kaum Cina untuk menyara hidup anak-anaknya adalah suatu yang biasa kelihatan dalam negara yang mempunyai pelbagai kaum. Sama juga kelihatan seorang India menjual roti berniaga di kawasan kaum Melayu. Adakah kita impikan kehilangan ciri kepelbagaian ini hanya kerana hasutan beberapa individu berkepentingan?

Kami percaya bahawa kita semua harus mengeratkan integriti bangsa kita lebih daripada memecahbelahkan masyarakat dengan hasutan boikot sebegini. Matlamat akhir kita sepatutnya membantu perkembangan perniagaan, mempastikan harga barangan rendah, mempastikan kos sara hidup bersepadanan dengan barangan buatan Malaysia yang berkualiti serta harga berpatutan. Hanya dengan usaha dan sikap sebegini serta gandingan persefahaman masyarakat maka kita semua akan menikmati kejayaan bersama.

Kenyataan bersama :-

Tawfik Ismail
Tajuddin Rasdi
Syed Sadiq Albar
Shad Saleem Faruqi
Nurul Haqq Shahrir
Noor Farida Ariffin
Johan Jaafar
Jahaberdeen Mohamed Yunoos
Hussamuddin Yaacub
Chun Wai, Wong
Chandra Muzaffar
Anas Zubedy

No comments: