Setelah mendengar isi hati orang-orang Melayu yang baru-baru ini telah dengan serius bertekad untuk mempertahankan MARUAH ORANG MELAYU, saya berbesar hati dan rendah diri ingin berkongsi sebuah buku yang saya telah tulis dan di lancarkan oleh YAB TUN DR. MAHATHIR pada tahun 2014. Walaupun buku ini istimewa ditujukan kepada usahawan-usahawan muda Melayu, tetapi seruan universalnya juga baik di renung oleh semua baik Melayu atau bukan Melayu, baik yang muda serta juga yang berumur.
Saya akan memuatkan isi kandungan dari buku ini inshaAllah setiap hari, satu. Di sini adalah mukadimah buku tersebut yang bertajuk #WAHAIMELAYU.
Salam,
Anas
Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. - Quran 13:11
KENAPA BUKU INI?
Salam,
Izinkan saya untuk berkongsi satu cerita. Menurut Statistik Pendapatan dan Kemiskinan Isi Rumah oleh Dasar Ekonomi Baru (DEB), keluarga saya berada di bawah garis kemiskinan. Yed (ayah) merupakan seorang pembantu kedai bergaji kira-kira RM120 sebulan. Kadang kala kami makan nasi dengan planta dan kicap sahaja. Lewat 1960an, Yed dimasukkan ke hospital akibat batuk kering. Ketika itu, Umi hanya memperolehi RM60 sebulan daripada majikan Yed.
Pada tahun 1968, Umi mendapat satu peluang ‘besar’. Nasib Umi berubah apabila adik lelakinya yang bekerja di Timur Tengah memberinya USD30 (RM93). Umi tidak menggunakan wang itu untuk kepuasan segera, sebaliknya menjadikan wang tersebut modal berniaga. Umi mula berniaga kecil-kecilan. Menjual batik, selendang, cadar, dan lain-lain yang dibeli daripada Pak Ali di Jual Murah, Pulau Pinang. Apabila Pak Ali melihat kejujuran dan kesungguhan Umi dalam perniagaan, beliau menggalakkan Umi untuk mengambil bekalan daripadanya secara konsainan - ambil dahulu dan bayar kemudian. Pada mulanya Umi enggan, tetapi Pak Ali berjaya meyakinkan Umi untuk membuat bayaran balik secara konsisten. Umi memulakan sistem kreditnya sendiri. Umi bijak menguruskan kewangan perniagaannya sehinggakan Umi mahir merancang dengan tepat bila untuk mengetuk pintu pelanggan (pada minggu gaji) dan bila untuk membayar pembekal. Bagi Umi, menepati janji adalah sesuatu yang tidak boleh dianggap remeh dalam perniagaan mahupun kehidupan.
Saya membesar melihat Umi cermat berbelanja. Umi sentiasa berjimat dan jujur dengan pengurusan wang, pelanggan, dan pembekal. Umi tidak pernah menipu sesiapa. Tanpa menipu, tanpa mengelentong, Umi membina reputasi yang baik sebagai seorang peniaga yang beretika. Sehingga satu tahap, pembekalpembekal lain turut meminta Umi menjual untuk mereka, tetapi Umi setia dan kekal berurusan dengan Pak Ali sahaja. Etika perniagaan Umi dan sifat jimat-cermatnya dengan wang telah memupuk budaya berhemat yang sama dalam diri saya.
Saya percaya pada pelan tindakan afirmatif seperti DEB. Mana-mana masyarakat yang mempunyai golongan kaya dan miskin perlu melakukan sesuatu untuk mengurangkan jurang perbezaan antara kedua-dua kumpulan tersebut. Saya tidak percaya kepada kesaksamaan dalam erti kata yang terlalu luas, saya akan sentiasa mengutamakan golongan miskin. Kita mesti sentiasa membantu mereka. Pada pendapat saya, tuntutan kesaksamaan di kalangan yang tidak sama rata hanya menguntungkan golongan kaya sahaja. Namun demikian, kita perlu berhati-hati dalam memberi bantuan untuk mengelakkan mentaliti subsidi. Kita tidak mahu membantu golongan miskin sehingga mereka hanya mengharapkan bantuan sepanjang hidup mereka. Ini bukan membantu tetapi merosakkan. Keseimbangan antara menggalakkan masyarakat untuk belajar dan pemberian yang keterlaluan tidak mudah dicapai. Kita perlu bersederhana.
Biar saya kongsikan satu lagi cerita. Ketika saya di bangku sekolah menengah, saya menerima biasiswa bulanan daripada kerajaan sebanyak RM15. Jumlah ini jika diikutkan tidaklah seberapa tetapi bantuan itu membolehkan saya untuk mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti yang biasanya disertai oleh kanak-kanak yang ibu-bapanya dari kelas pertengahan atau kaya seperti Kelab Interact. Saya menggunakan sebahagian daripada wang itu untuk pakaian seragam serta projek-projek sekolah dan melabur bakinya untuk menjana pendapatan kecil dengan berniaga bersama Umi. Melalui biasiswa itu, saya dapat menimba pengalaman di luar bilik darjah. Saya mula berjinak dengan kemahiran seperti kepimpinan, kemanusiaan, menganjurkan projek, dan banyak lagi.
Bantuan itu juga mengajar saya beberapa perkara penting yang lain. Saya belajar menabung. Kita tidak akan dapat belajar menyimpan jika kita tidak berduit. Saya belajar mengendalikan wang, cara untuk berbelanja, dan menabung. Semua ini tidak mungkin berlaku jika saya tidak menerima RM15 setiap bulan melalui pelan tindakan afirmatif seperti DEB. Bantuan kecil daripada kerajaan itu adalah lebih daripada wang benih, ia membolehkan individu seperti saya untuk memahami, menghormati, mengendali, dan menghargai budaya wang.
Apabila saya berkongsi tweet tentang #WahaiMelayu, beberapa orang kawan saya hairan mengapa saya yang selalu menggalakkan perpaduan seolah-olah hanya bercakap mengenai satu kaum sahaja di Malaysia. Bukan menjadi masalah untuk saya menulis buku yang sama untuk kaum lain, malah saya merasa satu dengan semua kaum (seperti kebanyakan rakyat Malaysia yang lain). Sebenarnya, saya bersama beberapa rakan lain yang mengambil berat isu kaum India sedang dalam perancangan untuk melancarkan sebuah buku yang sama bagi kaum India di Malaysia yang bertajuk #WahaiKaumIndia. Terdapat pelbagai aspek sosiobudaya dan ekonomi yang unik pada kumpulan khusus atau etnik tertentu yang memerlukan perhatian unik. Walaupun #WahaiMelayu ditujukan untuk orang Melayu, sebahagian besar tip-tip yang ditulis di sini adalah sesuai untuk semua.
Saya berharap buku ini akan memberi inspirasi, berfikir dan membantu anda untuk menyoal diri sendiri. Saya menulis buku ini dalam bentuk cilik supaya ia mudah dicerna oleh semua. Tip-tip dalam buku ini adalah hasil pembelajaran daripada Umi, keluarga, pengalaman sendiri serta dengan memerhati orangorang di sekeliling.
Akhir sekali, saya tidak percaya adanya bangsa pemalas. Saya juga tidak dapat menerima bahawa kaum Melayu hanya berbakat dalam bidang seni dan berpolitik tetapi tidak dalam perniagaan – ini semuanya adalah sempadan-sempadan palsu yang membataskan diri dan kita perlu keluar dari kepompong ini. Apa yang kita perlu cari adalah motivasi dan inspirasi yang betul untuk sesuatu budaya khusus seperti kaum Melayu. Begitu juga dalam menangani golongan-golongan tertentu di Afrika, India, dan sebagainya – kita mesti mencari jalan yang sesuai untuk berkomunikasi dan berhubung dengan mereka. Ini adalah supaya mereka akan tampil ke hadapan dan menjadi produktif dan efektif.
Saya ingin memohon maaf sekiranya ada hasil penulisan saya yang kedengaran agak kasar dan menyinggung perasaan pembaca. Bukan niat saya untuk menyakiti. Tetapi untuk membuka hati kita supaya kita akan lebih maju ke hadapan. Terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu terutamanya Hidayah Mazlan, Aizuddin Arshad, ‘Aizat Roslan, Nur Intan Dayana Adinan, Nur Syuhada Zakaria, Nurul Haqq Shahrir, dan Rozitaayu Zulkifli kerana menjayakan penerbitan buku ini.
Salam.
anas zubedy
email: anas@zubedy.com
http://letusaddvalue.blogspot.com
http://www.facebook.com/zubedy
twitter: @anaszubedy
No comments:
Post a Comment