Followers

Saturday, March 28, 2026

SINAR HARIAN HARI INI : MENGAPA KEPEMIMPINAN PENGURUSAN PERLU MEMBINA "RESPECTFUL FEAR"

 

Yang Dihormati Kapten Industri dan Peneraju Sektor Awam,

Tugas seorang Pemimpin atau Pengurus, terutamanya bagi seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), bukanlah suatu amanah yang mudah. Tanggungjawab utama kita adalah untuk memastikan setiap warga organisasi bergerak serentak menuju matlamat Bersama - selari dari segi hala tuju, seirama dalam tindakan, dan memacu kepantasan yang mampu mengatasi persaingan.

Namun, untuk mencapai tahap sinkroni ini, komitmen yang tinggi diperlukan bagi mengimbangi kekuatan dan kelemahan setiap jabatan. Cabarannya ialah tiada formula kekal dalam mengurus sesebuah organisasi; landskap perniagaan sentiasa berubah dan menuntut kalibrasi semula pada setiap hari. Adalah tidak bermakna jika pasukan jualan cemerlang tetapi bahagian pengeluaran gagal memenuhi pesanan. Begitu juga, tidak berguna jika pemasaran memenangi anugerah tetapi sistem operasi dan penyampaian mengalami kepincangan.

Kepimpinan sebenar terletak pada keupayaan mengorkestrasikan keseluruhan sistem, bukan sekadar meraikan kecemerlangan terpencil. Inilah beban sekali gus keistimewaan seorang Teraju Eksekutif.

Definisi "Respectful Fear"

Bagi memikul tanggungjawab besar ini, salah satu sifat kepimpinan utama yang perlu kita bina adalah apa yang saya istilahkan sebagai "Respectful Fear" (Kegentaran Berasaskan Hormat). Ia merupakan satu bentuk "kengganan dalaman" untuk melanggar piawaian yang telah ditetapkan oleh seorang pemimpin yang dipercayai, konsisten, serta memiliki kewibawaan moral.

Kegentaran ini timbul daripada kesedaran bahawa mengecewakan pemimpin sedemikian akan membawa kesan yang mendalam. Walaupun ketegasan ini jarang dipamerkan secara terbuka, "kuasa" tersebut tetap wujud. Ia jarang perlu dikuatkuasakan secara keras kerana ia terbentuk daripada akar umbi kewibawaan moral dan konsistensi, bukan sekadar jawatan semata-mata. Melalui asas ini, lahirnya kawalan kendiri dan kekangan secara sukarela dalam kalangan kakitangan. Mereka bertindak dengan betul bukan kerana dipantau, tetapi kerana mereka memandang serius terhadap pemimpin, peranan mereka, serta organisasi tersebut.

Kesan Terhadap Kecekapan Organisasi

Apabila respectful fear wujud, keperluan untuk penyeliaan berterusan akan berkurangan secara drastik. Amalan pengurusan mikro (micromanagement) dapat dikurangkan, manakala proses membuat keputusan menjadi lebih pantas kerana jangkaan sudah pun difahami dengan jelas. Pemimpin tidak perlu meluangkan masa yang lama untuk membetulkan tingkah laku asas, sebaliknya boleh memberikan fokus penuh untuk memastikan gerak kerja berada pada landasan dan rentak yang betul. Akibatnya, organisasi memperoleh kepantasan dan koheren tanpa perlu meningkatkan birokrasi.

Lebih penting lagi, keberadaan respectful fear ini secara langsung meningkatkan piawaian etika dan profesionalisme. Ia membentuk budaya yang teguh tanpa memerlukan penguatkuasaan yang keras; di mana tahap kepercayaan adalah tinggi, selari dengan tahap jangkaan yang ditetapkan. Ini bukanlah model kepimpinan yang mengelak konflik atau merendahkan piawaian demi menjaga keharmonian luaran, sebaliknya ia adalah kepimpinan yang memiliki wibawa yang kental dan dipandang serius oleh semua pihak

Instrumen dan Disiplin Dalaman

Dalam konteks ini, sasaran, KPI, insentif, dan polisi tetap menjadi instrumen penting. Namun, mekanisme tersebut akan berfungsi dengan jauh lebih berkesan apabila disokong oleh sesuatu yang lebih utuh. Respectful fear beroperasi pada tahap yang lebih tinggi kerana pemimpin yang berkesan menggerakkan organisasi melalui disiplin dalaman (internalised discipline). Apabila ini wujud, sistem sedia ada akan memperkukuhkan tingkah laku positif secara automatik, dan bukannya bergelut untuk membetulkan kegagalan.

Respectful fear melahirkan Penguatkuasaan Secara Senyap (Silent Authority) -suatu kuasa yang tidak perlu diisytiharkan tetapi kehadirannya dirasai melalui tindakan dan kepatuhan sukarela. Oleh kerana piawaian dan akibat telah difahami, pemimpin tidak perlu memberi peringatan berterusan. Maka, pengaruh kepimpinan beroperasi secara konsisten di seluruh organisasi.

Manifestasi pada Pelbagai Tahap

  1. Tahap Pelaksanaan Tugasan: Penguatkuasaan secara senyap memastikan tindakan mengambil jalan pintas dirasakan sebagai suatu kesalahan moral. Kualiti terjaga tanpa perlu pemeriksaan rapi. Sebagai contoh, dalam sebuah firma pembuatan, seorang penyelia yang menyedari sedikit penyimpangan kualiti akan membetulkannya serta-merta walaupun tiada sesiapa memerhati. Beliau melakukannya bukan kerana takutkan hukuman, tetapi kerana tahu piawaian kualiti CEO adalah sesuatu yang tidak boleh dikompromi. Jabatan pemeriksaan kini menjadi lapisan pengesahan, bukannya benteng keselamatan utama.
  2. Tahap Tingkah Laku Pasukan: Budaya akan menggantikan peranan "kepolisian". Kawal selia rakan sejawat (peer regulation) berlaku secara semula jadi. Rakan sejawat akan saling menegur sekiranya terdapat ahli yang bertindak di luar nilai organisasi. Contohnya, jika seorang ahli pasukan jualan menjanjikan tempoh penghantaran yang tidak realistik, rakan sejawatnya akan menegur: "Itu bukan cara kita bekerja di sini." Pembetulan dilaksanakan secara mendatar, bukan menegak. Pasukan melindungi kredibiliti organisasi kerana jangkaan pemimpin telah sebati dalam diri mereka.
  3. Tahap Prestasi Individu: Penanda aras dalaman meningkat melalui motivasi intrinsik. Usaha dipacu oleh rasa bangga, tanggungjawab, dan rasa kepunyaan (ownership). Seorang penganalisis yang bekerja secara bebas tahu bahawa data yang tidak sahih akan mengakibatkan tindakan yang salah. Walaupun tanpa penyeliaan, beliau akan menyemak semula datanya kerana memahami bahawa kredibiliti yang terjejas memberi kesan lebih besar daripada sekadar ralat pada hamparan kerja.

Membina Kewibawaan: Konsep "Sat"

Persoalannya, bagaimanakah Pemimpin-Pengurus membina sifat ini? Satu sudut pandangan yang berguna boleh dilihat melalui konsep masyarakat Cina iaitu "Sat" (saat hei dalam Kantonis atau shā qì dalam Mandarin). Ia merujuk kepada karisma atau aura yang dapat dirasai serta-merta - suasana menjadi sunyi apabila pemimpin tersebut melangkah masuk ke dalam bilik. Sat menzahirkan kegentaran yang dihormati: keseriusan tanpa lakonan, penguatkuasaan tanpa gangguan, dan kuasa tanpa tayangan.

Kehadiran (presence) ini tidak boleh dilakonkan. Ia dibina melalui peredaran masa, bermula dengan sejati  (authenticity) dan konsistensi antara kata dengan perbuatan. Seorang pemimpin mesti sanggup membuat keputusan sukar, mengekalkan kawalan emosi, dan menunjukkan rekod prestasi yang adil serta tekal. Paling utama, ia memerlukan kewibawaan moral (moral seriousness), bukannya sekadar pesona (charm).

Para Kapten Industri dan Peneraju Sektor Awam sekalian,

Confucius merumuskan idea ini dengan ringkas: "Pemimpin yang memerintah dengan etika dan nilai murni adalah ibarat Bintang Utara; ia kekal stabil di lokasinya, manakala bintang-bintang lain secara semula jadi akan menjajar di sekelilingnya."

Respectful fear atau Kegentaran Berasaskan Hormat berfungsi dengan cara yang sama - ia tidak diperoleh melalui paksaan, tetapi melalui penghormatan yang diraih. Apabila pemimpin membina kewibawaan moral, konsistensi, dan kawalan diri, organisasi akan menjajar secara semula jadi. Kepantasan meningkat, dan disiplin tetap utuh walaupun pemimpin tiada di sisi.

Inilah kekuatan sebenar seorang Pemimpin-Pengurus: membina kegentaran berasaskan hormat yang mengekalkan kecemerlangan melangkaui keberadaan fizikal kita di dalam sesebuah bilik.

Salam, anas zubedy

No comments: