Jadikan
Malaysia negara yang CEMERLANG:
Komited
untuk terus hidup secara harmoni dan kerjasama.
Salam Sejahtera. Ini adalah
satu panggilan tindakan! Setiap daripada kita mempunyai peranan yang penting
untuk menjadikan Malaysia negara yang CEMERLANG.
Kita perlu mempraktikkan nasihat dan peringatan Tunku ke dalam polisi kerajaan
dan kehidupan harian. Kita perlu komited untuk hidup secara harmoni dan
kerjasama.
1) Apakah
itu komitmen?
Komitmen adalah kepercayaan yang diikuti
dengan tindakan. Komitmen menjadikan sesuatu matlamat itu pasti walaupun kita harus memaksa diri
untuk mencapainya. Kita berperang dengan musuh dalam diri sendiri. Apabila
kita komited melaksanakan sesuatu perkara, kita bersedia untuk menghadapi
segala cabaran dan rintangan. Kita bernafas dengan mantra “di mana ada kemahuan, di situ ada jalan”. Seseorang individu yang
komited menggunakan sepenuhnya kelebihan unik yang dikurniakan oleh Tuhan untuk
manusia; perbezaan antara kita dan makhluk ciptaan lain - TEKAD (willpower).
2) Apakah
yang diperlukan untuk kekal komited untuk hidup secara harmoni dan kerjasama di
Malaysia?
Letakkan matlamat Malaysia lebih
penting daripada kepentingan peribadi sama ada dari segi etnik, keagamaan
ataupun komuniti setempat. Percaya dengan kukuh bahawa kita tidak lebih atau
kurang berbanding orang lain. Berikrar mendukung matlamat perpaduan dan semangat
kepelbagaian antara kaum. Cari persamaan nilai-nilai murni yang boleh menyatukan
kita. Bekerja keras untuk menerima perbezaan antara kita atau
sekurang-kurangnya bertoleransi dengan kasih sayang. Jangan sesekali mengelak,
tidak mempedulikan atau memulaukan komuniti lain. Beriltizam untuk terus
berinteraksi, hidup secara harmoni dan kerjasama dalam apa jua situasi.
3) Di
manakah titik permulaan kita?
Ada dua kunci penting di
sini - tingkatkan ilmu pengetahuan
dan jaringan kenalan. Apabila kita
kurang berilmu, kita melihat dengan pandangan yang prejudis. Ilmu menukarkan prejudis
kepada perasaan yang murni dan bertindak sebagai pemangkin positif. Seperti
kata pepatah, “tak kenal maka tak cinta”.
Baca serta didik diri dan masyarakat sekitar. Apabila kita mempunyai
kenalan dan kawan daripada komuniti yang lain, kita tidak mudah terpedaya oleh
fanatisme dan sentimen perkauman. Kenalan peribadi dan hubungan persahabatan boleh
bertindak sebagai antibodi kepada sifat perkauman, diskriminasi dan
ketidaktoleransian agama.
Mari bersama mencipta
sebanyak mungkin landasan perpaduan melalui peningkatan ilmu pengetahuan dan
peluang-peluang untuk membina lebih banyak jaringan kenalan supaya Malaysia
lebih CEMERLANG.
Di zubedy, sumber
kekuatan program-program kami adalah nilai-nilai murni dan tradisi-tradisi budaya
yang dikongsi bersama. Kami percaya niat di dalam hati semua rakyat Malaysia mahukan
yang terbaik untuk diri mereka dan untuk setiap anak-anak Malaysia. Kami
percaya bahawa Malaysia tidak akan maju jika sebahagian daripada kita
tertinggal di belakang.
Untuk berkongsi pendapat
dan pengalaman anda, sila hubungi kami di makemalaysiagreat@zubedy.com atau lawati Facebook dan Twitter @makemygreat.
Usahakan yang terbaik,
Salam Hari Malaysia.
“Masa hadapan kita
bergantung kepada betapa eratnya pelbagai kaum boleh hidup secara harmoni dan kerjasama”
- Tunku Abdul Rahman (1903 – 1990)
No comments:
Post a Comment