Followers

Wednesday, December 21, 2016

Salam Krismas - Khamis di Sinar Harian



Jadikan Malaysia Negara CEMERLANG:
Mari berVisi Tinggi dan Jauh tetapi Berusaha Sedikit Demi Sedikit.

Mari sambung bicara bagaimana jadikan Malaysia Negara Cemerlang. Deepavali lepas kita berbincang tentang konsep amalan pemilikan (take ownership). Krismas kali ini, ayuh kita menyentuh tentang kepentingan adanya Visi yang tinggi dan jauh tetapi berusaha sedikit demi sedikit untuk mencapainya.
1)    Kenapa perlu berVisi tinggi dan jauh?
VISI yang TINGGI dan JAUH adalah satu perkara wajib untuk mencapai kejayaan. Visi menjana tenaga positif daripada sekecil mana pun kekuatan yang kita ada. Ia membawa dan memberi kita harapan. Masa depan akan nampak lebih jelas. Visi yang tinggi dan jauh memacu kita ke hadapan. Kita mahu jadi yang terbaik, terunggul dan hebat. Visi menunjuk jalan kepada potensi sebenar kita.
2)    Kenapa berusaha sedikit demi sedikit?
Tanpa tindakan, Visi hanya satu fantasi. Visi tidak cukup hanya tercatat di atas panji-panji tetapi ia perlu dikejar melalui kesungguhan tindakan manusia. Tindakan sedikit demi sedikit tetapi dilakukan secara efektif, efisien dan konsisten akan ‘lama-lama jadi bukit.’ Tidak cukup kalau kita hanya gah dengan visi yang terpapar di lobi-lobi pejabat kalau perkara asas seperti khidmat pelanggan seharian pun tak terjaga. Seseorang dengan impian yang menggunung tanpa tindakan sehari-hari akan jadi macam Mat Jenin.
3)    Bagaimana untuk berusaha sedikit demi sedikit?
Tanya diri sendiri apa yang kita boleh buat pada HARI INI! Apa perkara-perkara yang berada dalam jangkauan kebolehan dan kemampuan kita? Apa sekecil-kecil tindakan yang dapat kita buat SEKARANG untuk mencapai impian kita? Kita mesti kaitkan apa yang kita nak pada masa depan dengan apa yang kita perlu buat pada hari ini. Kita tak boleh berangan sahaja tetapi malas dan selalu datang kerja lewat. Organisasi kita pula tak boleh hanya pandai mengolah visi yang berbunga-bunga tetapi gagal mengambil berat terhadap prestasi kerja harian.
Ayuh kita bekerja dengan apa yang sedia ada tanpa tunggu-tunggu lagi kerana kita ada Visi tinggi dan jauh serta akan bertindak sedikit demi sedikit sampai berjaya.
Di Zubedy, sumber kekuatan program latihan kami ialah nilai-nilai murni dan tradisi yang dikongsi bersama. Kami percaya dalam hati rakyat Malaysia, kita mahukan yang terbaik untuk setiap anak-anak Malaysia kerana negara kita tidak akan berjaya jika ada yang tertinggal.

Kita semua mesti berVisi tinggi dan jauh tetapi berusaha sedikit demi sedikit sampai berjaya. Ayuh jadikan Malaysia Negara CEMERLANG.

Usahakan yang terbaik,
Salam Krismas.


No comments: