Followers

Thursday, January 26, 2017

Salam Tahun Baru Cina - Khamis di Sinar Harian

Jadikan Malaysia Negara CEMERLANG:
Yakin “Apa yang Kita Ada Cukup” untuk bawa kita pergi jauh, sangat jauh!

Sewaktu Krismas kami sarankan anda untuk bervisi tinggi dan jauh tetapi berusaha sedikit demi sedikit untuk berjaya. Harus ambil tindakan sekarang tetapi dalam jangkauan kebolehan dan kemampuan kita. Hari ini ayuh kita bincang tentang anjakan minda yang diperlukan untuk bertindak supaya impian boleh menjadi kenyataan.  

1.    Makna “Apa yang Kita Ada Cukup”.
Ia ialah akidah yang menegaskan bahawa kita ada cukup peluang untuk maju ke hadapan dengan apa yang kita sedia miliki walaupun mungkin nampak tak seberapa. Prinsip ini berteraskan kepercayaan bahawa Tuhan yang Maha Pengasih dalam perancanganNya akan pastikan setiap hambaNya tak kira pangkat, masa atau lokasi, buta atau celik, tinggi atau rendah, kaya atau miskin memperoleh rahmatNya pada bila-bila masa, setiap hari. Inilah sifat bersyukur.
2.    Kenapa kita mesti percaya dengan konsep ini?
Kalau kita tak percaya “Apa yang Kita Ada Cukup”, kita tak akan dapat bertindak! Kita akan tunggu dan bertangguh. Kita merungut. Kita salahkan orang lain. Kita salahkan situasi. Kita jadi lumpuh.
Mereka yang pegang konsep ini boleh bertindak sekarang walaupun apa yang ada di tangan hanya sedikit. Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit. Anak penarik beca boleh jadi doktor bedah. Orang yang bermula kosong mampu bina empayar perniagaan. Orang biasa yang tertindas boleh jadi pemerintah.   

3.    Apa jadi apabila kita mula percaya?
Kita akan lalui satu anjakan minda – satu-satunya perubahan yang boleh menjayakan keseluruhan aspek kehidupan dan mengubah hidup kita dalam jangka waktu yang singkat. Kita jadi cergas – boleh bersenam bila-bila masa, di mana saja kerana kita dikurniakan “kelengkapan” gim yang terbaik iaitu anggota badan kita. Kita maju dalam dunia korporat kerana kita pandai gunakan sedikit pengaruh yang ada pada kita untuk membawa kejayaan kepada syarikat dan diri sendiri. Pondok pun boleh dijadikan sekolah. Walaupun rumah kita kecil, kita bahagia - rumahku syurgaku. Impian boleh jadi kenyataan.
Di zubedy, sumber kekuatan program latihan kami ialah nilai-nilai murni dan tradisi yang dikongsi bersama. Kami percaya dalam hati rakyat Malaysia, kita mahukan yang terbaik untuk setiap anak-anak Malaysia kerana negara kita tidak akan berjaya jika ada yang tertinggal.
Mari buat anjakan minda dan percaya dengan konsep “Apa yang Kita Ada Cukup” dan jadikan Malaysia Negara CEMERLANG.

Usahakan yang terbaik,
Salam Tahun Baru Cina.


Idea dalam mesej ini adalah sebahagian daripada konsep teras program Making A Difference through P3 (Laksana Perubahan melalui P3) kami.


No comments: