Followers

Monday, July 24, 2023

MALAYSIA NEGARA MELAYU NORWAY NEGARA SCANDINAVIAN - Arof Ishak

 

Note from AZ - Interesting gentle and civilizational explanation by Arof Ishak

Susulan laporan-laporan akhbar 3/7/23, yang menyebut Tun Mahathir telah menuduh mereka yang menaja Malaysia sebagai ‘negara pelbagai bangsa’ adalah melanggar perlembagaan negara, A. Kadir Jasin menulis pada 17/7/23, “Melayu perlu terima hakikat Tanah Melayu tidak ada lagi … apabila nama Persekutuan Tanah Melayu ditukar menjadi Persekutuan Malaysia” pada tahun 1963.

Pada 18/7/23, Aidil Khalid menidakkan pandangan Kadir dan menekankan walau pun Malaysia mengambil alih daripada Persekutuan Tanah Melayu, Perlembagaan Malaysia terus mengandungi istilah “Tanah Melayu” dalam teksnya, seperti “Negeri-negeri Tanah Melayu”, dan “Semenanjung Tanah Melayu”; manakala, istilah ‘Semenanjung Malaysia’ tidak terdapat langsung dalam Perlembagaan negara. Aidil merumuskan Perlembagaan “tidak sekali-kali mencairkan sifat, hakikat dan identiti Tanah Melayu” selepas pembentukan Malaysia. Disebut juga dalam Perlembagaan, Malaysia terdiri daripada “Negeri-negeri Tanah Melayu”, dan “Negeri-negeri Borneo”. Juga, disebut dalam Perlembagaan orang-orang Asli “Semenanjung Tanah Melayu”, tidak “Semenanjung Malaysia”.

Dr. Jahaberdeen Yunoos pula pada 19/7/23, tidak bersetuju dengan pegangan Aidil, dan menyebut beberapa rujukan dalam Perlembagaan yang padanya nyata menunjukkan Malaysia sebuah negara pelbagai bangsa, seperti rujukan akan agama[1]agama lain selain daripada Islam, dan kebebasan untuk bertutur dan mempelajari bahasa-bahasa lain, dan kepentingan sah kaum-kaum lain. Jahaberdeen percaya Perlembagaan mahukan negara Malaysia yang bersatu berlandaskan kepelbagaian.

Memang tepat bagi Kadir, Aidil dan Jahaberdeen mengambil pendekatan perlembagaan bagi mengulas tulisan Tun Mahathir yang mahukan hakikat ‘Negara Melayu’ itu kekal, yang dilandaskan oleh Tun Mahathir dengan hujah perlembagaan negara.

Pendekatan perlembagaan yang telah diambil oleh Tun Mahathir, Kadir, Aidil dan Jahaberdeen memerlukan meneliti perlembagaan negara, dan mencari jawapan kepada isu yang dibangkitkan itu berpandukan kepada teks perlembagaan negara.

Namun, bagi saya untuk mencari jawapan yang menyeluruh saya mengemukakan satu pendekatan lain, yang saya namakan sebagai ‘pendekatan peradaban’ (civilisational approach). Pendekatan peradaban melihat keseluruhan fenomena, bukan sekadar perlembagaan negara sahaja.

Pendekatan peradaban meneliti masyarakat manusia dengan cermat. Dengan masyarakat manusia itu bermaksud masyarakat manusia yang berperadaban (a society that is civilised). Peradaban (civilisation) bermaksud masyarakat yang mempunyai satu umbaian budaya, satu umbaian nilai-nilai, dan satu umbaian kebijaksanaan (a society that possesses a body of culture, a body of values, and a body of wisdom); dalam kata lain, dengan tiga umbaian ini, peradaban memiliki peraturan, kelaziman dan kebiasaan yang dikenali dan diamalkan (recognised and practised rules, conventions and norms) dalam semua perkara nasional. Dengan pendekatan perlembagaan mereka, Kadir, Aidil, dan Jahaberdeen semuanya tidak membezakan antara negara (country/state) dengan masyarakat (society/nation). Pada hal ‘negara’ dan ‘masyarakat’ adalah dua entiti yang berlainan, walaupun berkaitan. ‘Negara’ adalah satu entiti politik, yakni satu entiti super-structure; manakala ‘masyarakat’ pula adalah satu entiti sosial, yang merupakan sub-structure. ‘Negara’ direka/dibentuk, dibina sebagai struktur atas masyarakat, manakala ‘masyarakat’ pula tumbuh semulajadi dan asli di bumi atau alam berkenaan, daripada zaman mula munculnya manusia di alam berkenaan.

Sebagai sebuah ‘negara’, Persekutuan Tanah Melayu muncul tahun 1957, dan kemudiannya Malaysia muncul tahun 1963, nyatanya sekali adalah negara “Tanah Melayu”, kerana Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dan Perlembagaan Malaysia cukup jelas mempamirkan struktur dan inti ‘Negara Melayu’ : Ketua Negara adalah seorang Raja Melayu yang bertakhta, pemerintah di negeri-negeri dalam persekutuan ini adalah juga Raja-Raja Melayu yang bertakhta, atau wakil Raja Melayu sebagai Yang di-Pertua Negeri, Majlis Raja-Raja Melayu berkedudukan dan berperanan penting dalam pemerintahan, Bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi, Islam adalah agama persekutuan.

Negeri-negeri yang membentuk Persekutuan Tanah Melayu adalah negeri-negeri yang nyatanya negeri-negeri Melayu. Seluruh Semenanjung adalah ‘Tanah Melayu’. Namun, istilah ‘Tanah Melayu’ tidak kena untuk Malaysia keseluruhannya. Malaysia terdiri daripada tiga wilayah iaitu Tanah Melayu, Sabah, dan Sarawak.

Pendekatan peradaban menghuraikan isu ‘Negara Melayu’ ini dengan membezakan antara ‘negara’ dan ‘masyarakat’, yakni negara Malaysia dan masyarakat Malaysia.

Penghuraian dua entiti yang berbeza ini (‘negara’, dan ‘masyarakat’) adalah dengan mengenali akan peradaban asas, iaitu peradaban yang membentuk negara di Malaysia. Peradaban asas itu ialah peradaban Melayu. Istilah ‘Melayu’ mempunyai dua pengertian dalam peradaban Melayu, yang tidak difahami luas, walaupun di Malaysia sendiri. Pengertian pertama istilah ‘Melayu’ ialah, ia satu kelompok etnik pribumi yang menghuni seluruh semenanjung yang dikenali sebagai ‘Semenanjung Tanah Melayu’  atau ‘Semenanjung Melayu’, wilayah pesisiran pantai timur Pulau Sumatera, Kepulauan-kepulauan Riau, Sambas, Natuna, dan seluruh wilayah pesisir pantai di Pulau Kalimantan. Kelompok ini juga disebut sebagai ‘Melayu pesisir’.

Pengertian kedua akan istilah ‘Melayu’ ialah ia satu nama generic merujuk kepada semua kelompok-kelompok etnik pribumi yang menghuni keseluruhan pulau-pulau di Asia Tenggara ini, alam yang telah dikenali antarabangsa sebagai ‘Malay Archipelago’, atau ‘Malay world’. Hakikat identiti etnik generic ini diistilahkan dalam Bahasa Melayu sebagai ‘Rumpun Melayu’, atau ‘Serumpun’, bermaksud satu rumpun etnik yang satu bangsa, dengan satu sejarah yang sama, satu leluhur yang sama, satu keluarga bahasa yang sama, satu rumpun budaya yang sama, dan satu peradaban yang sama. Rumpun Melayu terdiri daripada ratusan kelompok etnik pribumi ini, seperti Melayu, semua pribumi di Sabah, semua pribumi di Sarawak, Jawa, Bugis, orang Maluku, Filipina, dll. Hakikat keserumpunan ini dikenali juga oleh pengembara bangsa-bangsa Eropah dahulu, yang sampai ke wilayah kepulauan ini semenjak 500 tahun dahulu,seperti yang dinyatakan di abad ke-19 dahulu oleh Stamford Raffles yang berada di kepulauan ini, bahawa ‘the Malays are one nation’ - satu ‘kelompok bangsa yang satu’. Jelas istilah ‘Melayu’ digunakan oleh Stamford Raffles sebagai istilah generic.

Persekutuan Tanah Melayu dahulu, dan Malaysia sekarang ini adalah jelasnya negara[1]negara di ‘Alam Melayu’, atau ‘Kepulauan Melayu’. Maksud ringkasnya ialah, kedua-dua negara ini nyata hakikatnya adalah ‘Negara Melayu’, atau pun ‘Negara Rumpun Melayu’ (countries of, and in the Malay World), yang dimunculkan oleh satu peradaban, iaitu peradaban pribumi Rumpun Melayu.

Dengan mengenali dua pengertian istilah ‘Melayu’ ini, maka senang difahami bahawa Persekutuan Tanah Melayu itu memang mudah sekali dikenali sebagai ‘Negara Melayu’. Manakala, Malaysia adalah juga ‘Negara Melayu’ atau ‘Negara Rumpun Melayu’ berasaskan bangsa dan peradaban serumpun. Atau, dengan lain perkataan, Persekutuan Tanah Melayu dan Malaysia bukan ‘negara pelbagai bangsa’. Alam kedua negara ini adalah Alam Melayu.

Melihat entiti masyarakat, pendekatan peradaban tidak menolak hakikat bahawa Malaysia mempunyai penduduk etnik lain daripada Bangsa Rumpun Melayu. Maka, sub-structure ini dirangkumkan sekali dengan identiti negara. Dengan mengiktiraf hakikat masyarakat pelbagai etnik di Malaysia ini, apa yang terlahir daripada pendekatan peradaban ini ialah apabila dikaitkan identiti super-structure, yakni ‘negara’, dengan entiti sub-structure, yakni masyarakatnya, identiti Malaysia ialah ‘Negara Melayu, dengan masyarakat pelbagai etnik’ (‘Malay country, with a multiethnic population’). Bermaksud, kepelbagaian itu adalah daripada segi jenis etnik dalam masyarakatnya, ia tidak menyentuh identiti negara, kerana identiti negara berkait dengan alam aslinya.

Pelbagai etnik selain daripada Rumpun Melayu itu tidak boleh mengenepikan hakikat bahawa Rumpun Melayu adalah peradaban pribumi, dan masyarakat dan peradaban pengasas di Malaysia, yang dari awal sejarah bumi ini lagi telah membentuk pelbagai jenis kerajaan/negeri rasmi/formal di Tanah Melayu dan di Malaysia.

Nah, itu dia identiti Malaysia.

Cuba lihat di Benua Eropah, negara Norway dikenali sebagai ‘Scandinavian country’, kerana ia sebuah negara yang terbentuk di ‘alam Scandinavian’, oleh masyarakat dan peradaban ‘Scandinavian’. Begitu juga negara-negara Sweden, Denmark, dan Iceland – semua negara-negara ini dikenali sebagai ‘Negara Scandinavian’ belaka, di alam Scandinavian, walaupun ke semua negara-negara ini mempunyai warga negara yang berasal daripada negara dan benua asing juga, sehingga setinggi 25% penduduknya di negara Sweden. Tiada sesiapa mempertikaikan negara-negara ini semua adalah ‘Negara Scandinavian’.

Pendekatan peradaban menunjukkannya. Tiada sesiapa yang cuba menghujah negara-negara ini adalah ‘negara pelbagai bangsa’. Pendekatan peradaban menujukkan persamaan yang nyata antara negara Malaysia dengan negara Norway (dan lain-lain negara Scandinavian). Harus disedari bahawa istilah ‘Scandinavian’ merujuk kepada satu kelompok etnik, iaitu kelompok etnik bangsa Jerman. Dan, istilah ‘Melayu’ juga serupa, merujuk kepada satu kelompok etnik. Jadi, kedua-dua negara ini melandaskan teras identiti mereka atas kumpulan etnik belaka, yakni kelompok etnik yang membangunkan peradaban di bumi masing[1]masing.

Seperkara lagi yang dapat dikemukakan dalam pendekatan peradaban ini. Iaitu, sub[1]structure Malaysia, yakni masyarakatnya (masyarakat Rumpun Melayu) telah bersifat kepelbagaian (diversity) semenjak ribuan tahun dahulu lagi. Di seluruh Alam Melayu, terdapat ratusan suku-suku bangsa dalam bangsa serumpun ini, dengan pelbagai budaya, resam, dan bahasa mereka. Kedatangan orang masyarakat Cina dan India ke Malaysia sekadar menambah sangat sedikit sahaja lagi kepada ratusan kepelbagaian yang telah mewarnai Alam Melayu ini semenjak dahulukala. Maksudnya, kepelbagaian bukanlah satu fenomena yang baru di Malaysia atau di Alam Melayu yang tIdak pernah diketahui atau dialami oleh orang Rumpun Melayu sebelum ini, yang menyebabkan mereka menjadi kekok. Rumpun Melayu faham dengan kepelbagaian dan mengenali falsafah/amalan (recognised rules, conventions and norms) kepelbagaian dengan ratusan suku-suku bangsa mereka.

Seperkara lagi, masyarakat Malaysia harus diketahui sebagai masyarakat ‘pelbagai etnik’, bukan ‘pelbagai bangsa’ atau ‘pelbagai kaum’. Pendekatan peradaban peka dengan pebezaan sejarah dan makna setiap istlah yang digunakan. Ada perbezaan antara ‘bangsa’, dan ‘kaum’. ‘Bangsa’ itu adalah pembangun peradaban pribumi di alam yang dihuni. Manakala, ‘kaum’ itu adalah masyarakat yang telah berhijrah ke alam peradaban bangsa lain. ‘Etnik’ pula merujuk kepada kedua-dua ‘bangsa’ dan ‘kaum’. Bukan semua penduduk sesebuah negara itu adalah ‘bangsa’; dan, juga tidak semua adalah ‘kaum’.

Jadi, identiti Malaysia ialah “Negara Melayu” atau pun “Negara Rumpun Melayu”, dan jika perlu dengan huraian, iaitu “Negara Melayu, dengan penduduk pelbagai etnik”, (“Malay country, with a multi-ethnic population”) atau “Negara Rumpun Melayu, dengan penduduk pelbagai etnik”. Sejenis dengan “Norway is a Scandinavian country”.

Arof Ishak 23 Julai 2023