Followers

Sunday, February 15, 2015

Apakah Pemakaian Terbaik Dari Sudut Al-Quran?

Umat Islam di Malaysia hari ini sangat peka dan sensitif tentang pemakaian seseorang.

Ramai Ulamak kita memastikan kita memberi perhatian kepada bagaimana kita menutup ‘aurat'. Baru-baru ini pula, Mufti Perlis, Dr Asri, memberi kenyataan mengenai 'tatatertib bagaimana kita harus berpakaian' apabila kita melawat aktiviti keagamaan golongan bukan Islam .

Meskipun fokus dan perhatian kepada faktor ‘luaran’ seperti cara pemakaian mempunyai kepentingannya, kitab Al- Quran sebenarnya memberi lebih penekanan kepada faktor 'dalaman' – keperibadian, amal, dan perbuatan seseorang.

Perkara ini boleh dirujuk sendiri di dalam Quran,

“Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (kurnia) Allah supaya mereka beringat.” (Quran 7:26)

Quran suruh kita lebih memberi perhatian kepada pakaian bersifat Taqwa.

Walaupun terdapat banyak ayat-ayat di dalam Quran yang menerangkan tentang konsep ketaqwaan, ayat 2:177 di bawah menyimpulkan apa yang diharapkan daripada seseorang yang benar-benar bertaqwa dengan secara jitu.

Secara peribadi, saya melihat ayat ini sebagai 10 perintah Quran ke arah ketaqwaan dan saya sering melafazkannya dalam solat harian saya.

“Bukanlah suatu kebajikan itu kamu menghadapkan muka ke Timur dan Barat, tetapi kebajikan itu ialah

1. berimannya seseorang kepada Allah,
2. dan hari akhirat,
3. segala malaikat,
4. segala Kitab,
5. dan sekalian Nabi;
6. mendermakan harta yang dicintainya kepada
    a. kerabatnya,
    b. anak-anak yatim,
    c. orang miskin,
    d. orang yang musafir,
    e. orang yang meminta-minta,
    f. orang yang memerdekakan hamba abdi;
7. orang mendirikan sembahyang,
8. serta mengeluarkan zakat,
9. dan perbuatan orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka berjanji,
10. orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan kesakitan, dan dalam peperangan. 

Mereka itulah orang yang benar; dan mereka itulah juga orang yang bertakwa.” (Quran 2:177)

Saya benar-benar berharap pemimpin-pemimpin agama kita akan mengambil hidayah Al-Quran dan lebih memberi perhatian dan mementingkan kepada factor-faktor ‘dalaman' pemakaian umat dari yang luar, walaupun yang luar itu pun penting.

Salam.

Anas Zubedy
Kuala Lumpur .

No comments: