Followers

Tuesday, December 3, 2013

Ucapan DYMM Raja Dr. Nazrin Shah di Majlis Profesor Negara (MPN)

Bismillahi Rahmani Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam Sejahtera.

Segala puji milik ALLAH Subhanahu Wata'ala. Selawat dan kesejahteraan ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam. Demikian juga ke atas ahli keluarga dan para sahabat Baginda, seterusnya ke atas para Tabiin dan para ulama; semoga memperoleh ihsan daripada ALLAH Subhanahu Wata'ala sehingga ke hari kebangkitan.

2. Kongres ini membuka ruang membolehkan Beta dapat bersama ahli-ahli Majlis Profesor Negara. Peserta Kongres terdiri dari kalangan cendekiawan yang diiktiraf dengan status Profesor. Di era Kesultanan Melayu, Raja yang arif lagi bijaksana, meletak nilai tinggi kepada ilmu, menghargai budaya mesyuarah serta mendampingkan diri dengan ulama dan ilmuwan, membolehkan Raja mendapat seelok nasihat - secerah pandangan, lalu mengupayakan Raja menyempurnakan amanah secara adil - secara saksama; dan istana pula dapat berfungsi sebagai forum percambahan minda, tapak perkembangan ilmu serta pusat penyebaran agama.

3. Dalam tempoh 56 tahun mencapai kemerdekaan, Negara telah berjaya mencatatkan prestasi pencapaian ekonomi membanggakan, didukung oleh dua faktor utama. Pertama, kemurahan rahmat ILAHI menganugerahkan bumi ini dengan pelbagai kekayaan. Kedua, jentera pentadbiran yang bijak, merangka dan melaksanakan program pembangunan secara mampan lagi berwawasan. The Global Competitiveness Report 2013, mengkategorikan Malaysia dari segi daya saing, berada di tangga 24 daripada 148 negara yang dinilai. Dari segi kemudahan berurus niaga, Malaysia berada di rangking keenam, merupakan satu-satunya negara Islam yang berada di tangga sepuluh teratas. Soal selidik Legatum Institute London, meletakkan Malaysia di ranking keempat puluh empat terkaya dari 142 negara yang dilakukan kajian.

4. Pendapatan per kapita 32,438 ringgit, menempatkan Malaysia di tangga kedua di kalangan negara ASEAN. Peratus rakyat miskin turun daripada lebih 50 peratus dalam tahun tujuh puluhan kepada 1.7 peratus dalam tahun 2012. Program pendidikan adalah program Dasar Ekonomi Baru yang paling berjaya. Bilangan tenaga profesional dan pengurusan Melayu dilaporkan mengatasi kaum Cina dan India, sementara bilangan doktor, jurutera dan arkitek Melayu berada dalam nisbah yang hampir sama dengan bukan Melayu. Ekuiti korporat Bumiputera meningkat dari 2.4 peratus dalam tahun 1970 kepada 23.5 peratus dalam tahun 2011. Angka dan data pencapaian ekonomi ini adalah cerita kejayaan sebuah negara.

5. Pencapaian tersebut turut dipengaruhi oleh dua faktor lain. Pertama keadaan negara yang aman; kedua iklim politik yang stabil. Keamanan dan iklim politik yang stabil telah memberikan Malaysia kelebihan mendahului kebanyakan negara di rantau ini terutama untuk memberi keyakinan kepada pelabur asing. Bermula dari Pilihan Raya Umum Kedua Belas (PRU 12), kestabilan politik semakin mendapat perhatian dan diberikan pelbagai tafsiran. Tafsiran yang dirumuskan dipengaruhi barometer penyukat yang diguna pakai Menilai kestabilan politik berlandaskan hanya kepada keputusan pilihan raya, terlalu simplistik pendekatannya. Begitu juga pemikiran yang mengaitkan sentimen perkauman, sebagai faktor yang mempengaruhi pola pengundian, terlalu impulsif dan permukaan sifatnya. Meskipun, parti yang membentuk Kerajaan pasca PRU 12 dan PRU 13 tidak menguasai dua pertiga majoriti, namun ia tidak mencetuskan sebarang sengketa yang menjejaskan kestabilan politik. Urusan harian negara terus berfungsi secara normal. Malah senario pasca pilihan raya memperlihatkan bahawa warga Malaysia telah mempamerkan sifat kematangan menghayati semangat demokrasi.

6. Dinamik politik yang sedang berlaku hendaklah dijadikan cermin untuk melihat wajah sebenar negara yang telah merentasi usia 56 tahun. Dalam negara yang begitu berbilang, perpaduan warga amat mempengaruhi kestabilan politik. Senario semasa menuntut kepada perlunya dirangka formula perpaduan yang lebih relevan. Hari ini Majlis Profesor memilih untuk turut membincangkan subjek perpaduan, dijadikan tema Kongres dengan istilah yang dicanggihkan oleh tiga kata kunci Gagasan Penyatupaduan Nasional. Bahawa subjek Penyatupaduan Nasional, kini begitu terapung di laut fikir, menggerak lidah ke tasik kata. Penyatupaduan Nasional ketika ini bagaikan rangkai kata yang kalut berlegar di minda warga, semakin diperkatakan, semakin dijadikan subjek perbualan, semakin dijadikan tema seminar - tema diskusi. Penyatupaduan Nasional pada hakikatnya adalah satu kemestian bagi sesebuah negara; demi memastikan kelangsungan hayat sesebuah negara, seperti mana perlunya kehadiran oksigen di atmosfera untuk meneruskan talian hayat, kehadirannya diambil secara lewa, tetapi ketiadaannya akan menyemputkan nafas.

7. Pengupayaan sesuatu bangsa ditentukan ketika bangsa berhadapan cabaran besar. Dalam buku, A Study of History, Arnold Toynbee merumuskan kajian mengenai asas kelahiran 21 tamadun; bahawa faktor utama membina tamadun yang gemilang ialah pengupayaan bangsa menghadapi cabaran, lalu bangsa terdorong menyatukan kekuatan, menggabung sepenuh tenaga - merangkum sepenuh usaha untuk sama-sama mengatasi cabaran, baik yang berbentuk alam semula jadi atau peristiwa besar seperti peperangan, tekanan ekonomi, bencana alam dan perubahan pemerintahan. Tiga kata kunci, menyatukan, menggabung, merangkum adalah kata kunci yang menegaskan aspek penyatupaduan.

8. Penubuhan Persekutuan Tanah Melayu disusuli dengan pembentukan Malaysia dimungkinkan kerana kejayaan mengolah resipi penyatupaduan; resipi penyatupaduan yang diolah dalam semangat penyatuan dalam kepelbagaian. Terbina persefahaman - terjalin kerjasama, bukan sahaja di kalangan pelbagai kaum dan pelbagai penganut agama, malah merangkumi komponen-komponen lain, empat Negeri Bersekutu, lima Negeri Tidak Bersekutu, dua Negeri Selat; Raja dan rakyat bersatu suara - bersatu langkah - bersatu matlamat untuk membina satu warga kepada sebuah negara merdeka. Lalu lahirlah sebuah negara tanggal 31 Ogos 1957, dalam gegak gempita histeria laungan MERDEKA!. Yang dilahirkan ketika itu adalah sebuah negara baru yang mempunyai kedaulatan ke atas warga dan wilayah, tetapi warga bangsa belum wujud.

9. Membangunkan warga bangsa masih menghadapi pelbagai cabaran, malah cabaran yang dihadapi untuk membina warga yang teguh bersatu - kukuh berpadu, kini menghadapi ujian lebih besar - ujian bertambah rumit. Pelbagai istilah penyatuan diperkenalkan - pelbagai slogan direka cipta, pelbagai logo dilakar, pelbagai lirik dikumandangkan. Ia masih tidak memperlihatkan impak keberkesanan menurut yang diimpikan. Malah slogan ke arah membentuk satu warga bangsa, lebih banyak menimbulkan kontroversi, lebih mengundang kontradiksi; semakin dipolemikkan - semakin dipolitikkan.

10. Dalam pengembaraan menerokai subjek penyatupaduan nasional, kanta hendaklah berpandangan jauh, lensa hendaklah berpenglihatan luas. Kanta dan lensa jangan disalut ilusi warna, hingga rumput kering dipandang segar, ayir keroh dilihat jernih. Perbuatan sedemikian akan meletakkan diri dalam budaya penafian. Budaya penafian akan meletakkan minda dalam alam artifisial, lalu mendorong minda melakukan tafsiran salah, disusuli dengan gerak kerja kurang bijaksana. Negara bukan teater rekaan, dengan lakonannya dikawal skrip yang tegar. Negara adalah teater hidup, teater dinamik yang terus berubah. Setiap warganya pemegang watak; pemegang watak yang tidak terikat kepada setiap koma - setiap noktah.

11. Ketika menyusun langkah ke arah mencapai impian gemilang, imbaslah kembali memori lama, selaras 
dengan kata pedoman orang tua, tersesat di hujung jalan, baliklah ke pangkal jalan. Negara ditubuhkan dan warga disatukan, berpaksikan semangat penyatuan dalam kepelbagaian; semangat yang termaktub dalam dokumen penting, dikenali sebagai Perlembagaan Persekutuan.

12. Tiga konstituen utama terlibat dalam merangka Perlembagaan Negara, Raja-Raja, Kerajaan Inggeris dan Parti Perikatan, menangani subjek-subjek sensitif, rumit lagi pelbagai, antaranya isu-isu agama, kaum, bahasa dan negeri; di samping merangka institusi-institusi utama negara, perundangan, kehakiman dan eksekutif, yang perlu mengambil tanggung jawab melayarkan sebuah bahtera merdeka. Mengolah formula penyatupaduan, memerlukan kesediaan berundur sebelum mara, memerlukan keberanian menerima realiti, memerlukan ketegasan mempertahankan prinsip.
13. Oleh itu amatlah bertepatan untuk diimbau kembali peristiwa bersejarah, bertarikh 10 Julai 1957, ketika Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra (Almarhum), atas nama Ketua Menteri, membentangkan usul penggubalan Perlembagaan di Majlis Perundangan Persekutuan. Beta memilih petikan tertentu ucapan tersebut dalam Bahasa ia diucapkan, agar semangat dan intonasinya dapat diberikan apresiasi sewajarnya.
Petikan;

I marvel that our progress towards independence has been so swift and smooth. I cannot recall any other dependent country which has achieved independence in such a cordial and friendly atmosphere. We have been able to make progress in such a remarkable fashion in spite of the fact that ours is a plural community. The characteristics, beliefs and cultures of our people vary greatly, and I believe that we are only now able to stand on the threshold of independence because of their tolerant and friendly attitude towards one another and their acceptance of Malaya as the object of their absolute loyalty......

At varying periods of our country's history, the Sultans of the Malay States entered into treaties with Great Britain. The Treaties provided, on the one hand, certain rights and concessions for Great Britain in return for protection to be accorded to Their Highnesses and protection for the interests and rights of the Malays. This protection was entered in the various State Constitution and Enactments and in the Federation of Malaya Agreement of 1948. The position which the Malays enjoyed under this Treaty has never been contested by any person or class of persons or communities for it has not interfered or obstructed other communities in the enjoyment of their possessions or the right to live their lives. The affluence of others has not helped the Malays but on the other hand it has caused them so much economic setback that they were driven out of the main towns and villages of this country. The sum total of the Malay plight was that they have suffered in the field of economy as well as education...

The early Chinese settlers have been in this country for many hundreds of years. In the early days they came here to trade and later to like this country and decided to settle down, and they were absorbed by the country and followed local customs and spoke the Malay language, while at the same time retaining some of their own culture and traditions...

The Indians also came to the Federation to seek wealth in the country and they found employment in the Government service or in estates. They too have made their contribution for which we are grateful. Men and women of many other races have also come to Malaya,........the desire by all races for Independence brought UMNO and MCA together,....The Indians led by MIC then joined the Alliance and for the first time in the history of Malaya, a majority of the people were united politically with one aim in view - the achievement of Merdeka.

With regard to citizenship, I must emphasise that the basic principle which it is proposed to accept is that all persons who regard the Federation as their home and who wish to take advantage of what this country has to offer must owe undivided loyalty to the Federation and must be prepared to participate in the duties of citizenship. The cornerstone of the new proposals is undivided loyalty to the Federation…..
For the future well-being of our country, we expect and demand the undivided loyalty of all who wish to call themselves Malayans

Ucapan diakhiri dengan kata-kata harapan:
"Let us make it work and build for ourselves and our descendants a shangrila whereby we can all live in peace, happiness and prosperity".

click here to read more on this speech

No comments: