Followers

Monday, October 26, 2026

SURAT TERBUKA KEPADA PEMIMPIN-PEMIMPIN PARTI POLITIK - Sinar Harian 27/10/2026

 

SURAT TERBUKA KEPADA PEMIMPIN-PEMIMPIN PARTI POLITIK

Salam Sejahtera,

Per: MENGAPA WAWASAN 2057 - MALAYSIA100 PERLU MENJADI SEBAHAGIAN DARIPADA MANIFESTO PRU16 ANDA

Malaysia akan menyambut ulang tahun kemerdekaannya yang ke-100 pada 2057.

Dalam merangka hala tuju negara untuk 30 tahun akan datang, satu prinsip asas harus memandu kita: libatkan seramai mungkin rakyat Malaysia dalam membina Wawasan 2057 - Malaysia100.

Wawasan ini tidak seharusnya dibentuk oleh segelintir pihak lalu dihidangkan kepada rakyat. Sebaliknya, rakyat sendiri perlu menjadi sebahagian daripada proses membayangkan, membahaskan dan membentuk masa depan negara. Kita perlu mendemokrasikan proses ini, dan semoga idea terbaik menjadi pemenang!

Kita perlu mendengar masyarakat Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain. Suara majoriti harus diraikan, begitu juga minoriti terkecil, termasuk saudara kita berbangsa Kelabit di Bario yang kehidupannya mungkin jauh berbeza daripada mereka di ibu kota. Suara Semenanjung, Sabah dan Sarawak, dari bandar besar, bandar kecil hingga perkampungan, semuanya penting.

Kita perlu mendengar penganut Islam, Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan kepercayaan lain. Semua generasi, daripada mereka yang menyaksikan awal kemerdekaan hingga anak muda yang bakal menjadi warga emas apabila Malaysia berusia 100 tahun.

Kita perlu mendengar peniaga dan pekerja, guru dan penuntut, golongan terpelajar dan profesional, petani dan nelayan, usahawan serta NGO. Jangan dilupakan kelompok yang sering terlepas pandang, termasuk OKU. Bagaimanakah rupa Malaysia 2057 di mata seorang yang buta atau mempunyai kekangan fizikal? Negara bagaimana yang mereka mahu kita bina bersama?

Kita juga memerlukan pelbagai kepakaran dan pengalaman hidup kerana tiada individu, pertubuhan, kerjaya, kaum atau parti politik memonopoli semua jawapan.

Lebih ramai kita bawa ke meja perbincangan, lebih kaya takungan idea. Sudah tentu ada idea yang akan disanggah atau terkandas dalam perdebatan. Ada pula yang menjadi lebih bernas setelah dicabar. Kadangkala, ilham luar biasa muncul dari arah tidak disangka dan mengubah cara kita melihat masa depan Malaysia.

Matlamatnya ialah wacana nasional seluas mungkin, tempat pelbagai pemikiran berentap dan matang untuk merumuskan Malaysia yang kita impikan pada 2057. Wawasan 2057 bukan milik kelompok eksklusif. Ia milik kita semua.


SATU JEMPUTAN KHUSUS KEPADA PARTI-PARTI POLITIK

Mengapa bermula dengan parti politik?

Menjelang PRU16, saya ingin mengajak parti-parti politik dan barisan kepimpinannya menyertai wacana ini secara khusus.

Parti politik memainkan peranan besar dalam kehidupan bernegara. Anda bukan sahaja membentuk kerajaan dan dasar awam, malah mencorakkan rentak dan budaya politik negara. Anda menghimpunkan rakyat di bawah idea, mengetengahkan isu, merangka manifesto, membahaskan hala tuju negara dan melahirkan pelapis kepimpinan. Paling penting, anda memohon mandat rakyat untuk memimpin.

Justeru, sudikah anda menjadikan Wawasan 2057 - Malaysia100 sebahagian daripada manifesto PRU16 dan membawanya ke pentas perbincangan umum?

Manifesto lazimnya menawarkan rancangan lima tahun. Namun PRU16 perlu melihat lebih jauh. Kerajaan selepas PRU16 akan mentadbir pada fasa awal perjalanan menuju usia 100 tahun. Tiada satu kerajaan boleh menentukan rupa akhir Malaysia 2057 sendirian kerana banyak pentadbiran dan pilihan raya akan menyusul. Namun kerajaan pasca-PRU16 mempunyai peluang dan tanggungjawab untuk meletakkan asas yang kukuh bagi perjalanan 30 tahun itu.

Maka setiap parti perlu menjawab persoalan besar:

Apakah asas yang akan anda letakkan dalam lima tahun pertama pentadbiran agar Malaysia mempunyai peluang terbaik menjadi sebuah negara agung menjelang 2057?


TIGA SOALAN ASAS

1. Di manakah kedudukan kita hari ini?
Ini menuntut kejujuran. Apakah pencapaian terbaik kita selepas hampir tujuh dekad merdeka? Apa yang perlu dipertahankan, diperkasakan, disingkirkan atau diperbetulkan?

2. Di manakah kita mahu berada pada 2057?
Ini menuntut imaginasi. Bagaimanakah rupa dan jiwa Malaysia yang mahu kita wariskan apabila negara berusia seabad?

3. Apakah yang perlu kita lakukan untuk sampai ke sana?
Ini menuntut tindakan. Apakah yang perlu dimulakan atau dihentikan sekarang? Apakah asas yang mesti dibina hari ini walaupun hasilnya hanya dinikmati beberapa dekad kemudian?

 

MENGGUNAKAN KERANGKA PESTEL SEBAGAI PANDUAN

Untuk menstrukturkan matlamat menuju 2057, kita boleh menggunakan PESTEL:

P - POLITIK: Bagaimanakah kita membina ekosistem politik yang mengangkat pemimpin berwibawa, berintegriti dan berkesan?

E - EKONOMI: Bagaimanakah kita membina model ekonomi yang mengagihkan kemakmuran secara adil, merapatkan jurang kaya-miskin tanpa bergantung kepada rasuah, kabel atau naungan politik?

S - SOSIAL: Bagaimanakah kita memperkasa pendidikan dan sistem sosial yang menjamin mobiliti golongan berpendapatan rendah sambil membina masyarakat berteraskan Perlembagaan Persekutuan, dengan setiap kaum, agama dan budaya dihormati, disayangi dan dihargai?

T - TEKNOLOGI: Bagaimanakah kita menjadi negara maju dan berinovasi tinggi sambil memastikan teknologi memuliakan insan, melindungi maruah dan mengeratkan hubungan sesama manusia?

E - ALAM SEKITAR (Environment): Bagaimanakah kita memodenkan negara tanpa merosakkan alam, mengimbangi pembangunan dengan kelestarian serta mewujudkan persekitaran aman, selamat dan harmoni untuk rakyat terus maju?

L – PERUNDANGAN(Legal): Bagaimanakah kita memastikan kedaulatan undang-undang menjunjung keadilan mengatasi pihak berkuasa dan melindungi semua, sambil berani menilai sama ada kerangka undang-undang dan institusi hari ini masih relevan untuk 2057, serta apa yang perlu dikekalkan, diubah atau diinovasi?


MARILAH KITA MULAKAN LANGKAH INI

Ketika anda menyusun strategi menghadapi PRU16, masukkan Wawasan 2057 ke dalam nadi manifesto parti anda.

Beritahu rakyat kedudukan sebenar negara hari ini, Malaysia bagaimana yang anda bayangkan pada ulang tahun ke-100, dan apakah yang parti anda tawarkan dalam lima tahun pertama untuk membawa kita ke sana.

Luaskan juga pendengaran melangkaui penyokong tegar. Dengarlah suara pelbagai wilayah, bangsa, agama dan generasi. Idea yang baik tidak hilang nilainya kerana siapa yang menyuarakannya.

Bantu kami mencetuskan wacana nasional yang besar ini tentang bagaimana kita mahu membentuk semula tanah air tercinta. Jadikan PRU16 bukan sekadar pilihan tentang lima tahun akan datang, tetapi permulaan perbincangan tentang 30 tahun menuju MALAYSIA100.

Sekian, terima kasih dan salam sejahtera,

Anas Zubedy
Kuala Lumpur
Oc
tober 2 2026


No comments: